Biography of Lau King Howe
Biografi Encik Lau King Howe
        En. Lau King Howe merupakan anak lelaki kedua Pastor Lau Meng Shy dan Puan Hii, yang berasal dari Kampung Nan Yu, Daerah Hou Guan di wilayah Hokkien, China. Pastor Lau banyak melibatkan diri dalam kerja-kerja kebajikan dan membina banyak sekolah dan hospital di China.
        Selepas menamatkan pengajian di Kolej Methodist Anglo-Chinese, Fuzhou, En. Lau King Howe memasuki Maktab Perguruan Manila di Filipina di mana beliau memperoleh ijazah dengan kepujian. Beliau bekerja di Pangkalan Tentera Laut Udara Amerika Syarikat di Filipina sebagai pegawai tadbir dan kemudiannya menjadi pengetua di Philippines Chinese School. Beliau kembali ke China pada tahun 1914, dan dilantik sebagai Ketua Setiausaha dan kemudiannya dalam bulan September pada tahun yang sama sebagai Pemangku Pengurus di Si Chuan Salt Affairs Audit Department. Beliau seterusnya meletak jawatan daripada perkhidmatan kerajaan dan menjadi ahli perniagaan di Shanghai.
        Pada tahun 1916, En. Lau King Howe tiba di Sibu untuk mencari peluang yang lebih baik. Beliau memiliki tiga orang anak lelaki daripada dua perkahwinannya yang lepas.



Encik Lau King Howe bersama isterinya Puan Fu Bao Yu
       Isteri ketiga dan terakhirnya merupakan pembantu rumahnya iaitu Puan Fu Bao Yu (1902-1977), yang berusia 14 tahun semasa mengahwininya. Puan Fu dan En. Lau telah mengambil anak kedua adik lelaki keempat En Lau (Liu Cheng) sebagai anak angkat kerana mereka berdua tidak mempunyai anak kandung. En. Lau berusia 47 tahun semasa beliau datang ke Sibu. Beliau mengusahakan penanaman ladang getah di Engkilo yang terletak di sebelah tebing barat Sibu. Usaha ini yang kemudiannya menjadi sumber kekayaannya.



        Disebabkan kemudahan kesihatan yang tidak mencukupi di Sibu, En. Lau mencadangkan kepada Kerajaan Brooke pada 1930, beliau berhasrat untuk mendermakan kekayaannya untuk membina sebuah hospital baru di Sibu bersama dengan usaha kerajaan.


Surat dari Ketua Setiausaha kepada J.M. Hoover

Surat Kuasa dari Lau King Howe kepada Hoover dan Lim Khai Cheng
       Pada tahun 1931, beliau berjanji untuk menanggung 50% daripada kos pembinaan hospital yang dicadangkan melalui sumbangan sebahagian daripada kekayaannya. Pada tahun yang sama, janji tersebut secara rasmi diiktiraf dan diterima oleh Residen Bahagian Ketiga, Encik C.D. Adams, dan hospital baharu itu dinamakan sempena Encik Lau King Howe. Encik Lau dan keluarganya kembali ke China pada Mei 1931, dan beliau meninggal dunia pada Oktober 1932. Pembinaan Hospital Lau King Howe bermula pada tahun 1931 dan siap pada tahun 1936.


Gambar lama Hospital Lau King Howe
Tahun 1936, Hospital Lau King Howe telah selesai dibina dan dibuka secara rasmi.


       01 September 1994, Hospital Baru Pusat Sibu dilancarkan dan dibuka secara rasmi. Hospital Lau King Howe berubah menjadi poliklinik dalam tempoh peralihan.


Muzium Peringatan Hospital Lau King Howe sebelum diubah suai
       Muzium Peringatan Hospital Lau King Howe sebelum diubah suai. 03 Ogos 1996, klinik pesakit luar, klinik farmasi dan Jabatan kecemasan Hospital Lau King Howe dipelihara dan diubah menjadi Muzium Peringatan Hospital Lau King Howe






Jun 2005, bangunan Hospital Lau King Howe yang asal telah diroboh sepenuhnya kerana projek pembangunan Dataran Bandar Sibu Fasa 2. Muzium Peringatan Hospital Lau King Howe telah diubahsuai dan dibuka semula pada 04 Disember 2008.

Biografi Ringkas Encik Lau King Howe Oleh Mendiang Reverend Lim Khai Cheng
ditulis pada tahun 1960-an
       Encik Lau King Howe merupakan anak kedua kepada Pastor Lau Meng-Shy dan Puan Hii, yang berasal dari Kampung Nan Yu di Daerah Hou Guan, Wilayah Hokkien, China. Beliau seorang yang rajin dan bijak, serta sangat dihormati semasa zaman persekolahannya. Setelah menamatkan pengajiannya di Methodist Anglo-Chinese College di Foochow, beliau melanjutkan pelajaran ke Maktab Perguruan di Manila, Filipina, dan lulus peperiksaan akhir dengan kepujian. Beliau kemudiannya menjadi pengetua sebuah sekolah Cina di Manila. Tidak lama kemudian, beliau kembali ke China dan bekerja sebagai Ketua Setiausaha di Ibu Pejabat Sze-Chuan Salt Affairs Audit Department. Selepas itu, beliau menceburi bidang perniagaan di Shanghai.
       Encik Lau King Howe, yang mempunyai hati yang baik dan pemurah, juga merupakan seorang penganut Kristian yang taat. Pada tahun 1916, beliau datang ke Sibu, Sarawak, dan mengusahakan sebuah ladang getah. Demi meningkatkan perkhidmatan perubatan di Sibu, pada tahun 1930, selepas berbincang dengan Rev. James M. Hoover dan Rev. Lim Khai Cheng, beliau menyatakan hasrat untuk mendermakan seluruh hartanya kepada Kerajaan bagi membina sebuah hospital yang besar dan moden demi manfaat masyarakat di Sibu. Beliau kemudian menulis kepada Encik C. D. Adams, Residen Bahagian Ketiga, Sibu, Sarawak, mengenai sumbangan tersebut. Encik Adams seterusnya mendapatkan pandangan Rajah Sarawak berhubung perkara itu. Pada 22 November 1930, Encik J. C. Swayne, Ketua Setiausaha Negeri Sarawak, membalas surat tersebut dengan menerima sumbangan itu dan berjanji bahawa hospital yang dicadangkan itu akan dinamakan Hospital Lau King Howe.
       Pada 7 Mac 1931, Encik Lau King Howe telah diberi penghormatan oleh Encik Charles Vyner Brooke, Rajah Sarawak, yang menyampaikan sebuah plak logam sebagai penghargaan atas kemurahan hati beliau. Kemudian, apabila Encik Lau ingin kembali ke China, beliau bersama Encik Adams telah memberi kuasa kepada Rev. James M. Hoover dan Rev. Lim Khai Cheng untuk mengurus semua harta yang didermakan serta menyelia penyiapan hospital yang dicadangkan itu. Pada bulan Mei 1931, Encik Lau bersara dan kembali ke China. Pada tahun berikutnya, beliau meninggal dunia pada Oktober 1932.
       Dengan tujuan untuk meningkatkan kebajikan masyarakat, seperti yang dinyatakan di atas, Encik Lau King Howe telah mendermakan hartanya bagi pembinaan sebuah hospital yang besar dan moden di Sibu. Sebagai menghargai kemurahan hati dan sumbangan beliau, Kerajaan telah menamakan hospital tersebut sebagai Hospital Lau King Howe sebagai tanda peringatan yang berkekalan terhadap jasa dan semangat kebajikan beliau. Saya menulis catatan ini supaya generasi akan datang dapat memahami dengan lebih jelas bagaimana hospital ini memperoleh namanya pada hari ini.